KUALA LUMPUR, 6 Mei 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL ingin memaklumkan bahawa sebuah video tular yang memaparkan seorang bekas kakitangan Rapid Rail bertindak memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka adalah sebuah video lama dari insiden yang telah berlaku pada Mac 2022.
Siasatan dalaman telah dijalankan sejurus selepas kejadian itu dan individu terbabit telah dikenakan tindakan tegas termasuk penamatan perkhidmatan kerana tingkah laku yang jelas melanggar kod etika kerja Rapid Rail.
Rapid Rail menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab serta beretika dalam penggunaan media sosial untuk mengelakkan timbulnya salah faham serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.