Search
Close this search box.

_

PENAMBAHAN 15 HARI PAS MY100, MY50

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) – pengendali perkhidmatan rel urban dan bas henti-henti di Lembah Klang dan negeri-negeri lain serta perkhidmatan Rapid Ferry, akan beroperasi mengikut waktu normal daripada pukul 6 pagi sehingga tengah malam mulai Isnin ini.

Sehubungan dengan itu, para pengguna My100 dan My50 yang telah tamat tempoh boleh memperbaharui pas mereka bermula esok, 4 Mei hingga 31 Mei 2020, di semua Kaunter Khidmat Pelanggan stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan di hab bas yang terpilih.

“Kepada para pengguna yang akan memperbaharui pas yang telah tamat tempoh atau akan membeli pas baharu bermula minggu hadapan, kami akan memberikan penambahan 15 hari secara percuma kepada anda. Jadi, secara keseluruhan, anda akan mendapat perjalanan tanpa had selama 45 hari dengan harga yang sama. Kami berharap agar inisiatif prihatin kami ini akan memberi manfaat kepada para pengguna untuk kembali menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL,” kata Encik Muhammad Nizam Alias, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana.

Bagi memastikan kelancaran pembaharuan pas perjalanan ini, pihak Rapid KL akan menempatkan penambahan kakitangan di stesen-stesen yang sesak. Sebagai langkah keselamatan, “kami menyeru agar pengguna pengangkutan awam sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, menjaga kebersihan diri serta sentiasa menjaga jarak sosial ketika berada di tempat awam,” tambahnya lagi.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklum balas berkenaan pas My100 atau My50, anda boleh merujuk kepada kakitangan Rapid KL di stesen atau hab bas, media sosial Rapid KL atau layari www.myrapid.com.my untuk maklumat lanjut.

Language:

Search