Search
Close this search box.

_

PAS PERJALANAN MY50 BERMULA 1 JANUARI 2022

KUALA LUMPUR, 27 Disember – Pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang, yang diumumkan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat Oktober lepas, akan bermula pada 1 Januari ini.

Mengumumkan perkara ini di sini hari ini, Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Ir. Wee Ka Siong berkata My50 menggantikan pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan Kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA pada bulan Jun 2020.

“Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Disember 2021; dan ia akan diganti dengan pas perjalanan RM50 sebulan, yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lepas,” kata Wee di sidang media secara maya bagi mengumumkan pengenalan pas tersebut.

Katanya, pengenalan pas perjalanan My50 ini adalah bukti bahawa Kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

“Dengan pengenalan pas perjalanan My50 ini dan dengan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak Kementerian dan Prasarana yakin tahun 2022 akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana.

“Secara keseluruhan untuk tahun 2021, berdasarkan data sehingga 24 Disember 2021, purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan oleh Prasarana adalah 462,246 penumpang. Purata jumlah penumpang untuk perkhidmatan rel adalah 324,517 penumpang sehari dan untuk bas, yang meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, adalah 137,729 penumpang.

“Sebelum penularan wabak Covid-19, Prasarana pernah mengendalikan sehingga 1.1 juta penumpang sehari pada tahun 2019. Dengan keupayaan dan kapisiti yang dimiliknya, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya andainya permintaan meningkat; sambil memastikan para penumpang terus menikmati perjalanan yang selesa, lancar dan selamat.,” tambah Wee.

Terbuka ekslusif untuk warga negara Malaysia, pas perjalanan My50 menawarkan perjalanan tanpa had kepada warga negara Malaysia untuk menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana – LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT dengan hanya membayar RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari berturut-turut.

Kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

“Untuk Pulau Pinang, pas perjalanan akan dipanggil Pas Mutiara My50 dan boleh digunakan untuk bas henti-henti perkhidmatan Rapid Penang,” kata Wee, sambil menambah kata bahawa buat masa ini, kemudahan pas perjalanan itu belum dipanjangkan untuk Rapid Kuantan, yang merupakan satu lagi rangkaian perkhidmatan bas henti-henti kendalian Prasarana.

Bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan ini, Kerajaan memperuntukkan RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung oleh Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia ini.

Kata Wee, ia adalah pelaburan yang besar, tetapi amat penting kerana peranan yang dimainkan oleh sektor pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

“Seperti yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri ketika melancarkan Pas Keluarga Malaysia pada 22 November lepas, pengangkutan awam mempunyai peranan besar dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia dalam visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan konteks pendekatan kekeluargaan.

“Selain menjadi alat penyatuan bangsa dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia, perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien juga akan menggalakkan perkembangan aktiviti komersial dan menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru itu, adalah menjadi harapan ikhlas saya agar rakyat terus menyokong perkhidmatan pengangkutan awam; dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pas perjalanan tanpa had My50 ini untuk menyemarakkan semula ekonomi negara dan semangat penyatuan Keluarga Malaysia,” tambah beliau.

Walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Disember ini, Wee berkata mereka yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara pada hari berkenaan boleh terus menikmati kemudahan itu sehingga 30 Januari 2022 sebelum terpaksa beralih kepada pas My50.

Untuk pembelian di Lembah Klang, orang ramai boleh melanggan pas perjalanan My50 ini pejabat-pejabat khidmat pelanggan Rapid KL di lokasi-lokasi berikut:

  • Semua stesen LRT
  • Semua stesen MRT
  • Semua stesen Monorel
  • Semua stesen BRT – Laluan Sunway
  • Hab-hab Bas Rapid KL terpilih – Pasar Seni; Chow Kit; KLCC; Sri Nilam; Puchong Utama; Pearl Point; Sunway Pyramid; Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

Lokasi-lokasi pembelian di Pulau Pinang pula adalah di kiosk-kiosk terpilih Rapid Penang – KOMTAR, Weld Quay (Terminal B); Penang Sentral; Bukit Jambul; Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit); Kompleks Dato’ Kailan (Kepala Batas); Balik Pulau; dan Bukit Mertajam.

Language:

Search