KUALA LUMPUR, 25 MEI – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pagi ini mengumumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa bermula jam 6.00 pagi ini, dengan menggunakan satu landasan (single track) serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma (pada waktu puncak).
Dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu selainnya, serta pengurangan kapasiti kepada lima puluh peratus (50%) susulan daripada pengumuman Kerajaan berhubung langkah-langkah lebih ketat dalam pelaksanaan PKP 3.0, para penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa.
Kekerapan tren mungkin akan diubahsuai mengikut keperluan semasa operasi.
Untuk melancarkan pergerakan para penumpang pada waktu puncak, lima (5) buah bas perantara dua tingkat percuma, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.
Kakitangan operasi juga akan ditempatkan di setiap platform stesen di antara Stesen Pasar Seni sehingga Stesen Ampang Park untuk memantau, membantu untuk memudahkan pergerakan penumpang.
Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga (3) hari, setelah semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai. Prasarana juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku, dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terlibat dalam insiden semalam serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.
Pengguna perkhidmatan Rapid KL kini boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah, menggunakan aplikasi ‘PULSE’ yang boleh dimuat turun melalui melalui ‘Google Play Store’ atau ‘Apple App Store’.