_

RAPID KL MOHON MAAF ATAS INSIDEN BREK KECEMASAN DI DALAM LRT

KUALA LUMPUR, 3 MEI 2022 – Susulan sebuah artikel terbitan New Straits Times bertajuk “Aidilfitri jolt for LRT passengers” pada 3 Mei 2022, Rapid KL, yang merupakan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad dan pengendali rangkaian pengangkutan awam, mohon maaf atas insiden kecemasan. di dalam tren yang mendatangkan keresahan para penumpang tentang tahap keselamatan tren-tren LRT kendaliannya.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.20 malam pada 2 Mei 2022, Tren 64 yang dipandu secara automatik (tanpa pemandu) mengalami masalah teknikal ketika dalam perjalanan dari Stesen LRT Dang Wangi menuju ke Stesen LRT Kg Baru.  

Berpandukan tetapan keselamatan sistem tren Bombardier Mark II, Tren 64 telah menggunakan brek kecemasan supaya operasi diberhentikan secara serta-merta bagi mengelakkan kejadian merbahaya dan tidak diingini berlaku. 

“Brek kecemasan digunapakai secara automatik apabila sistem mengesan masalah teknikal ketika tren beroperasi. Ia adalah satu teknik 'failsafe' yang perlu dilakukan supaya hanya tren yang dibenarkan untuk meneruskan perjalanan,” terang Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini.  

Bergantung kepada kelajuan tren ketika brek kecemasan digunakan, para penumpang boleh mengalami kehilangan imbangan atau terjatuh sekiranya mereka berdiri dan tidak memegang susur tangan yang disediakan.  

Kemudiannya, Tren 64 dikeluarkan daripada perkhidmatan di Stesen KLCC dan pegawai operasi membantu mengeluarkan penumpang ke platform bagi mendapatkan tren seterusnya.

Rapid KL juga memohon maaf dan memberi jaminan tindakan susulan yang sesuai akan diambil bagi memastikan perkara yang tidak akan berulang di masa hadapan. 

“Kami memohon maaf atas kejadian tersebut dan ingin menegaskan bahawa semua masalah teknikal yang dialami oleh tren-tren pengendalian kami disiasat dengan teliti dan menyeluruh supaya langkah pencegahan atau penyelenggaraan boleh dilakukan dengan segera.

Berkenaan dengan penggunaan brek kecemasan yang berlaku secara mengejut, kami sedang dalam perbincangan dengan pihak pengeluar tren supaya pendekatan yang kurang mendadak boleh digunakan bagi mengelakkan sebarang kecederaan kepada penumpang,” tambah kenyataan itu lagi. 

Rapid KL juga akan memastikan kakitangan di stesen siap sedia dan bersedia untuk membantu para penumpang dan berkongsi maklumat terkini tentang keadaan tren dan operasi perkhidmatan supaya mereka boleh merancang perjalanan mereka seterusnya dengan lebih baik.  

Bagi penumpang yang terlibat boleh menghubungi pihak Rapid KL sekiranya memerlukan bantuan lanjut menerusi talian khidmat pelanggan 03-78852585. 

Bahasa: