Search
Close this search box.

_

MENTERI PENGANGKUTAN TERAJUI USAHA PERMANTAP KEMBALI MONOREL

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook hari ini mengadakan pertemuan dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh para pengguna perkhidmatan monorel sekarang ekoran penggantungan lima set tren empat-gerabak sejak awal tahun ini.

Sebagai langkah permulaan, YB Anthony akan membawa Prasarana dan pembekal tren-tren berkenaan, Scomi Engineering Berhad ke meja perundingan minggu depan untuk berbincang dan mencari jalan untuk membawa kelima-lima set tren kembali beroperasi.

Katanya, perkhidmatan tren-tren empat gerabak itu, yang mula beroperasi pada tahun 2015 tetapi digantung sementara pada bulan Mei 2017, dan untuk kali kedua daripada 24 Januari lepas sehingga sekarang, adalah amat penting untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan monorel di bandaraya Kuala Lumpur.

Diiringi oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Haji Saripuddin Haji Kasim, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah, YB Anthony telah diberi taklimat mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi Prasarana dan Rapid Rail dalam perlaksanaan projek menaikkan taraf perkhidmatan monorel, yang meliputi pembelian 12 set tren empat-gerabak, yang ditandatangani pada akhir tahun 2011.

Selain pembekalan 12 unit tren, kontrak berkenaan turut meliputi pembinaan depoh baru dan kerja-kerja naik taraf di stesen-stesen monorail khususnya fasiliti untuk kemudahan golongan kurang upaya.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan tertutup dengan pengurusan tertinggi Prasarana dan Rapid Rail, YB Anthony berkata beliau turut dimaklumkan bahawa Prasarana telah menerima kertas cadangan daripada pembekal lain untuk membaiki kelima-lima tren berkenaan di samping menyediakan tren-tren empat-gerabak baru untuk Prasarana.

Katanya, pihak kementerian akan menimbang cadangan-cadangan berkenaan termasuk saranan daripada mesyuarat antara Prasarana dan Scomi Engineering untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebelum akhir tahun ini. Harapan beliau adalah untuk kelima-lima tren empat-gerabak yang sedia ada sekarang untuk beroperasi kembali menjelang suku pertama tahun depan. 

Language:

Search