Search
Close this search box.

_

LATIHAMAL KECEMASAN TAHAP EKSTREME DI STESEN PUTRA HEIGHTS

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Bersenariokan suasana cemas tahap ekstreme, Rapid Rail akan mengadakan latihamal simulasi berskala besar bermula tengah malam esok di stesen LRT berintegrasi Putra Heights sebagai satu lagi inisiatif dalam memastikan perkhidmatan rel urban yang efektif, selamat dan berkelas dunia.

Melibatkan kedua-dua laluan LRT Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, simulasi yang bakal melibatkan pelbagai agensi tindakan kecemasan atau ‘Emergency Response Authorities’ (ERA) termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, hospital dan pihak berkuasa kesihatan, polis dan Jabatan Pertahanan Awam, latihan simulasi berkenaan akan bersenariokan tren terbabas, kebakaran di stesen dan penumpang panik mencerobohi trek.

“Senario simulasi sengaja dipilih ke tahap ekstreme kerana kami mahu benar-benar memastikan staf dan kakitangan kami sentiasa bersedia dengan tindakan kecemasan masing-masing khususnya komunikasi dan kerjasama dengan agensi-agensi kecemasan ERA.

“Latihan simulasi akan bermula selepas tengah malam; selepas waktu operasi hari esok dan tamat pada sebelum 4 pagi kerana kami perlu pula membuat persiapan untuk operasi pada hari Sabtu. Saya harap segala berjalan lancar dan orang awam tidak gempar apabila terdengar bunyi siren bomba dan ambulans,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani Mohamed.

Katanya lagi, latihan simulasi berkenaan adalah untuk menguji kesiap-siagaan anggota penyelamat dan perkasasan dan prosedur operasi standard atau ‘SOP’, yang sememangnya disemak secara berkala bagi memastikan ianya tetap dan sempurna.

“Keselamatan para penumpang adalah keutamaan nombor satu bagi Rapid Rail. Kerana itu, kita perlu sentiasa bersedia untuk apa jua. Alhamdulillah, sejak mula beroperasi, perkhidmatan LRT Rapid Rail ini bebas daripada sebarang insiden besar. Namun, kita tidak boleh leka dan mengambil apa jua risiko. Kerana itu, latihamal kecemasan bersama-sama dengan ERA ini diadakan setiap tahun,” tambah Khairani, yang memulakan karier beliau di bidang rel sejak penubuhan PUTRA LRT pada 1998.

Selain menguji keberkesanan pelan tindakan kecemasan yang sedia ada, latihamal berkenaan juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara pasukan penyelamat Rapid Rail dan agensi-agensi penyelamat yang terlibat.

Language:

Search