KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kumpulan terakhir staf Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) seramai 53 orang untuk menyokong operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) berlepas dari KLIA hari ini dengan janji untuk menabur bakti sebaik mungkin untuk membantu para jemaah menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci Mekah.
Sebahagian besar daripada mereka akan bertugas untuk Pasukan Bertindak Cepat atau ‘Rapid Response Team’, yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sepanjang jajaran 18.1km MMMSL dari Arafah ke Jamrah itu.
Bakal menjejak kaki buat pertama kali di Tanah Suci Mekah, Anuar Yusoff, yang sudah berkhidmat lebih 12 tahun dengan LRT Laluan Kelana Jaya di bidang pengurusan rangkaian trek (track network management), mereka semua sudah bersedia untuk mencurahkan segala pengalaman mereka untuk memastikan kejayaan operasi tahun ini.
“Saya akan bekerja dengan pasukan RRT dan sudahpun dimaklumkan secara am tentang apa yang perlu dilakukan nanti di MMMSL dan juga cabaran-cabaran yang bakal kami hadapi daripada cuaca panas terik, bekerja pada masa yang panjang dan tidur yang tidak menentu. Minda kami sudah ‘set’ menerima dan menghadapi cabaran-cabaran itu.
“Tentunya, bekerja dengan pasukan RRT, cabarannya lebih tinggi kerana perlu memastikan apa jua kecemasan dan gangguan, kalau ada, diselesaikan secepat mungkin. Jangkaan atau ‘expectation’ di sana adalah jauh lebih tinggi daripada apa yang hadapi di Malaysia. Ini semua sudah dimaklumkan kepada kami,” kata Anuar, yang melahirkan rasa gembira untuk terpilih berkhidmat di MMMSL tahun ini.
Katanya, beliau memohon untuk bertugas pada tahun lepas, tetapi tidak berjaya.
“Akhirnya, dapat juga saya menjejak kaki di Tanah Suci Mekah. Saya merasa amat gembira dan teruja; walaupun ada sedikit sedih untuk meninggalkan anak dan isteri. Mereka, bagaimanapun, amat menyokong saya dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya. Alhamdulillah,” kata Anuar.
Rakannya, Mohd Rosli Endut, yang juga bertugas dengan pengurusan rangkaian trek di LRT Laluan Kelana Jaya, turut melahirkan rasa syukur untuk diberi peluang berkhidmat di Tanah Suci Mekah tahun ini selepas tidak terpilih untuk operasi pada kedua-dua tahun lepas.
“Ini kira rahmat besar buat saya. Tentunya, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi saya peluang ini. Pada saya, ini adalah ibadat yang amat besar kerana kita membantu para jemaah menunaikan ibadat haji,” kata juruteknik berusia 55 tahun itu.
Beroperasi selama tujuh hari khusus untuk musim haji, MMMSL digunakan oleh kira-kira 350,000 jemaah dari negara-negara Timur Tengah dan Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.
Seperti Anuar dan Rosli, Mohd Shahdan Jalil, 38, juga akan berkhidmat buat pertama kali dengan perkhidmatan MMMSL, yang menggunakan 15 tren 12-gerabak dan bergerak atas landasan bertingkat.
“Saya rasa bangga untuk terpilih. Ingatkan peluang akan terlepas lagi tahun ini kerana lama menunggu kelulusan visa. Akhirnya, dapat juga pergi hari ini. Memang rezeki untuk terpilih walaupun sedih juga untuk meninggalkan anak tunggal saya yang baru berusia 17 bulan,” kata Shahdan, yang sudah bertugas dengan Rapid KL selama lapan tahun.
Selain juruteknik, delegasi yang berlepas hari ini turut mempunyai staf daripada Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, yang akan memberikan liputan terperinci mengenai operasi MMMSL tahun ini.
Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 500 rakyat Malaysia akan bertugas untuk operasi MMMSL, yang akan melibatkan tidak kurang daripada 17,000 orang tenaga pekerja termasuk daripada pasukan keselamatan Arab Saudi.
Sebagai mengurangkan tekanan kepada operasi di Malaysia, Prasarana telah mengambil lebih 100 pesara dan bekas staf Rapid Rail, KTMB dan ERL untuk menyokong operasi musim ini, yang merupakan tahun ketiga penglibatan Prasarana dalam projek ini.