KUALA LUMPUR, 21 Mei – Atas dorongan semangat dan sambutan memberangsangkan daripada para penumpang pada musim lepas, Rapid KL kini menganjurkan Klinik Al Fatihah di Stesen LRT Masjid Jamek bersempena dengan bulan Ramadan Al Mubarak ini.
Dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat, program membantu penumpang beragama Islam memantapkan bacaan surah Al Fatihah tahun ini dilaksanakan bersama-sama dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur dan para pelajar sekolah tahfiz Darul Furqan di Kuala Kubu Baru, Selangor.
Dilancarkan semalam, Klinik Al Fatihah, yang diadakan di ruang legar utama Stesen Masjid Jamek, dibuka antara pukul 2 petang hingga 4 petang pada hari Isnin hingga Khamis; dan antara 11 pagi hingga 6.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad.
“Rapid KL ingin merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Sekolah Tahfiz Darul Quran atas sokongan mereka untuk program tahun ini. Kami menerima sambutan yang cukup menggalakkan tahun lepas.
“Ramai di kalangan kita yang mahu memantapkan lagi bacaan Al Fatihah masing-masing kerana ia adalah surah yang amat penting dan merupakan rukun dalam solat. Kami di Rapid KL amat berbesar hati untuk memberi sumbangan ini kepada para pengguna kita,” kata Ketua Pegawai Operasi, LRT Laluan Kelana Jaya, Haji Ismail Abdullah dalam satu kenyataan.
Terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur, Stesen LRT Masjid Jamek adalah stesen integrasi Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling dan merupakan antara stesen LRT paling sibuk