Search
Close this search box.

_

KKM PUAS HATI PEMATUHAN SOP DI LRT LALUAN AMPANG/SRI PETALING

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Delegasi pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang membuat tinjauan terhadap pematuhan operasi prosedur standard atau SOP di kalangan pengguna perkhidmatan awam semalam, melahirkan rasa puas hati dengan langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan di LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan pematuhan di kalangan para penumpangnya.


Diketuai oleh Ketua Pegawai Kesihatan Kawasan Cheras, Datin Dr Noriah Hajib, pasukan seramai 15 anggota turut mengadakan sesi penerangan dan kempen kesedaran kepada para penumpang ketika tinjauan pematuhan SOP di dalam tren dan di stesen-stesen Cheras, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Selatan.

Ketua Operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Tuan Haji Harman Hamzah, yang mengiringi delegasi itu sepanjang tinjauan berkenaan, turut memberi penerangan kepada Dr Noriah dan anggota pasukannya tentang langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan termasuk mewajibkan anggota barisan depan memakai pelindung muka ketika bertugas dan berurusan dengan para pelanggan.

“Program ini kami jalankan selaras dengan saranan kerajaan dengan slogan #kitajagakita. Justeru itu, Pihak Operasi Laluan Ampang/Sri Petaling menerima pelawaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Cheras untuk berkolaborasi membuat sesi kesedaran dan pemeriksaan terhadap penumpang-penumpang di sekitar daerah Cheras dan juga di dalam tren,” kata Harman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rapid Rail hari ini.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana rata-rata para penumpang amat responsif terhadap penerangan yang diberikan oleh Dr Noriah dan pasukannya di samping patuh dengan keperluan pemakaian pelitup muka dengan kemas dan melaksanakan secara kendiri penjarakan sosial semasa berada di dalam tren.

Katanya, Dr Noriah turut memuji dan mengalu-alukan langkah yang diambil oleh pihak pengurusan Rapid Rail khususnya LRT Laluan Ampang atas kesudian bekerjasama dengan pihak KKM untuk bersama-sama memerangi penularan wabak COVID-19.

“Beliau melahirkan harapan agar usaha dan kerjasama ini menjadi contoh kepada syarikat-syarikat korporat lain khususnya operator pengangkutan awam bagi menyuntik kesedaran di kalangan para penumpang dan orang awam betapa usaha menghentikan penularan ini perlu hadir dari semua pihak. Pengamalan norma baharu ini perlu berterusan bagi memastikan penularan ini dapat diputuskan.

“Bagi pihak RapidKL terutamanya Laluan Ampang/Sri Petaling, kami akan membuat pemeriksaan secara berterusan khususnya di waktu puncak bagi memastikan SOP dipatuhi. Semoga kita dapat menjalani norma kehidupan baru bersama. #kitajagakita #lindungidirilindungisemua,” tambah Haji Harman. – Foto MOHD FAITH EZENE

Language:

Search