Search
Close this search box.

_

KERJASAMA PRASARANA, PRIDE dan PAUKM BUKA KEDAI ANDA, KAFE ANDA

PUCHONG, 31 Mac – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini meraikan pembukaan Kedai ANDA dan Kafe ANDA, yang direalisasikan bersama-sama dengan Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia (PAUKM) dan Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat untuk membantu golongan kurang berkemampuan khususnya mereka dalam kumpulan B40.

Terletak di Stesen LRT Taman Perindustrian Puchong di sini; dengan Kedai Anda dan Kafe Anda, masing-masing menawarkan barangan pada harga 10 sen dan RM1, telah dirasmikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE, Encik Firdaus Effendy Mokhtar, Timbalan Ketua Divisyen Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Cik Rafizah Amran dan Encik Kuan Chee Heng, yang menjadi pengasas dan Presiden PAUKM dan lebih dikenali dengan nama Uncle Kentang.

Berucap pada majlis berkenaan, Encik Firdaus berkata PRIDE amat menghargai inisiatif yang dilakukan oleh Uncle Kentang dan para sukarelawannya untuk menubuhkan kedai berkenaan; dan memberi jaminan akan memberi sokongan untuk pembukaan kedai-kedai yang sama di stesen-stesen lain seperti Ampang dan Hulu Klang.

“Kami melihat inisiatif ini sebagai satu ‘noble cause’ (usaha murni) dan kami di PRIDE amat mengalu-alukan usaha sebegini. Ini janji kami di PRIDE. Saya amat mengkagumi apa yang dilakukan oleh Uncle Kentang dan para sukarelawannya untuk mengadakan kemudahan kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Ini adalah satu permulaan. Kami bersedia untuk membuka lebih banyak kedai. Kami komited untuk mengadakan lebih banyak perkhidmatan untuk manfaat rakyat. Saya mengambil peluang ini untuk menjemput mana-mana syarikat korporat, NGO dan agensi yang berminat untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat,” kata Encik Firdaus Effendy.

Uncle Kentang, dalam ucapan beliau, berharap lebih ramai dermawan untuk tampil untuk menyediakan sumbangan bagi membolehkan lebih banyak barangan dan sajian makanan dapat disediakan untuk mereka yang memerlukan. “Kafe ANDA adalah berasaskan kepada konsep amal jariah Dari Rakyat Kepada Rakyat. Orang yang lapar dan susah bolehlah datang ke Kafe ANDA ini untuk makan dan minum dengan pembayaran hanya RM1.

“Makanan yang ada di Kafe ANDA akan diperolehi daripada mereka yang ingin menyumbang dari masa ke semasa seperti mi Maggi, roti, telur, biskut, nasi lemak bungkus, meehoon bungkus dan kuih muih. Minuman yang disediakan adalah kopi O, dan teh tanpa gula. Kedai ANDA pula adalah untuk memudahkan mereka yang perlu makanan asas dan yang telah berdaftar dengan PAUKM sebagai penerima makanan boleh mendapatkan pek makanan mereka dari stesen LRT ini.

“Penerima pek makanan dapat datang ke lokasi stesen LRT Taman Perindustrian Puchong dengan mudah dengan menaiki LRT yang sedia ada,” kata Uncle Kentang, yang turut mengumumkan rancangan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti komuniti di stesen ini pada hujung minggu agar komuniti dapat membina hubungan yang rapat, harmoni dan aman sentiasa. Kedai ANDA dan Kafe ANDA ini akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 7 malam dan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App