KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Rapid Rail akan mengurangkan kekerapan tren LRT, MRT dan monorel mulai esok (Isnin, 26 Oktober) sehingga berakhir arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dikuatkuasakan ke atas negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Mengumumkan perkara ini, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Hjh Norlia Noah berkata pihaknya telah mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.
“Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini, bagaimanapun, akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan,” kata Datin Hjh Norlia dalam satu kenyataan media hari ini.
Dengan kebenaran berkenaan, kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang adalah seperti berikut:
<sila rujuk lampiran>
“Kekerapan yang ditetapkan ini, bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren-tren di semua laluan adalah dipantau rapi oleh Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” tambah Datin Hjh Norlia.
Dalam konteks yang sama, Datin Hjh Norlia berkata kekerapan bas-bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB ini.
“Berdasarkan kepada data yang kami ada, trend menunjukkan jumlah penumpang menurun termasuk pada waktu puncak. Penumpang pada waktu luar puncak, bagaimanapun, masih sama tetapi adalah amat rendah. Justeru itu, perkhidmatan Rapid Bus adalah berdasarkan pelan perjalanan hujung minggu, yang merupakan penurunan sebanyak 20 peratus daripada perjalanan pada hari bekerja.
“Rapid Bus, bagaimanapun, akan terus memantau rapi melalui operasi Pusat Kawalan Bas. Untuk kemudahan pengguna, kami menggalakkan mereka menggunakan aplikasi google maps/moovit dan lihat sendiri kedudukan bas di myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk untuk merancang perjalanan yang lebih baik,” tambah beliau.