KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Laluan Kajang telah kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 8.32 pagi tadi selepas kerja-kerja baik pulih berjaya dilaksanakan.
Gangguan perkhidmatan yang bermula sekitar jam 7.40 pagi tadi berpunca daripada sebuah tren yang mengalami tekanan angin rendah di Stesen Taman Mutiara dan telah menyebabkan tren tersebut berhenti dan tidak dapat meneruskan perjalanan.
Bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penumpang, perkhidmatan tren dan bas alternatif diaktifkan bagi menampung penumpang yang terjejas.
Pada jam 8.25 pagi, pasukan Rapid Rail telah berjaya menggerakkan tren tersebut dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat bermula jam 8.32 pagi.
Bagi membantu aliran penumpang di stesen, anggota polis bantuan serta petugas Rapid Rail telah ditempatkan di platform dan ruang legar stesen. Pengumuman berkala turut dibuat untuk memaklumkan perkembangan terkini perkhidmatan.
Penumpang dinasihatkan untuk merujuk pada laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.
Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama daripada semua pengguna.