KUALA LUMPUR, 5 Januari 2023 – Operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis. Ini menyebabkan semua tren bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di platform.
Kejadian pertama yang berlaku pada 4.24 petang menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KL Sentral dan Pasar Seni. Pasukan teknikal telah berada di lokasi dan kerja – kerja baik pulih telah selesai pada 5.20 petang.
Gangguan kedua telah berulang di antara Stesen Damai dan Dato’ Keramat pada jam 5.26 petang. Buat masa ini, kakitangan teknikal sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih dan akan memastikan operasi kembali normal pada kadar segera.
Bagi mengurangkan kesesakan di stesen, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Stesen KLCC, Ampang Park, Damai, Dato’ Keramat, Jelatek dan Setiawangsa.
Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan masing-masing serta layari media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan status perkhidmatan terkini.