Search
Close this search box.

_

DUA TREN MONOREL EMPAT-GERABAK SIAP DUA BULAN LEBIH AWAL

KUALA LUMPUR, 17 September – Sambutan Hari Malaysia, yang diraikan di seluruh negara semalam, menjadi catatan istimewa untuk Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) apabila baki dua set tren monorel empat-gerabak, yang dijadualkan siap pada bulan November, telah dimasukkan dalam perkhidmatan harian selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Disiapkan dua bulan lebih awal daripada tarikh akhir yang ditetapkan oleh Menteri Pengangkutan, Tuan Loke Siew Fook, kemasukan dua tren empat-gerabak itu meningkat jumlah tren yang digunakan untuk laluan Monorel kepada:

  • Lima (5) set tren empat-gerabak; dan
  • Empat (4) set tren dua-gerabak.

Peningkatan ini sekali gus mampu memastikan perjalanan yang lebih selesa untuk para pengguna dengan masa menunggu untuk waktu puncak diturunkan daripada 10 minit kepada 5.5 minit.

“Bagi saya, ini adalah satu bukti yang jelas kejayaan kolaborasi dan komitmen padu antara pihak Kerajaan, Prasarana dan STP (Scomi Transit Project Sdn Bhd). Sememangnya, ini adalah sambutan Hari Malaysia yang cukup istimewa. Bandaraya Kuala Lumpur sememangnya amat memerlukan perkhidmatan monorel yang efisien dan selamat; sekali gus menjadikan projek ini antara prioriti di pihak Kementerian. Kini, kelima-lima set tren empat-gerabak yang digantung perkhidmatan sejak Januari 2018 sudah kembali beroperasi selepas melalui kerja-kerja pemantapan keselamatan yang diperlukan dan berjaya melulusi ujian-ujian ketahanan (endurance) yang ditetapkan oleh APAD,” kata Loke.

Mengikut kontrak baru yang ditandatangani antara Prasarana dan STP pada April lepas, kedua-dua pihak akan memantau prestasi kelima-lima set tren empat-gerabak selama enam (6) bulan sebelum melaksanakan fasa kedua iaitu pembelian tujuh (7) set tren empat-gerabak. Sekiranya berjalan lancar dalam tempoh enam (6) bulan itu, tujuh tren baru itu perlu disediakan untuk Prasarana dalam tempoh 18 bulan. Apabila selesai sepenuhnya, Laluan Monorel akan beroperasi dengan dua belas (12) set tren empat-gerabak. Semua set tren dua-gerabak akan diberhentikan operasi ketika itu.

Selepas penggantungan kelima-lima tren empat gerabak ini pada Januari tahun lepas, jumlah penumpang harian untuk Laluan Monorel adalah kira-kira 32,000 penumpang. Dengan lima set tren empat-gerabak ini, Prasarana yakin jumlah penumpang harian untuk Laluan Monorel akan mencapai 70,000 sehari.

Mengulas kejayaan berkenaan, Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel, Encik Mohd Ariffin Idris berkata penambahan dua set tren empat-gerabak itu sememangnya dinanti-nantikan bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat.

“Program menaik-taraf perkhidmatan laluan Monorel KL ini seiring peningkatan jumlah penumpang yang semakin bertambah setiap tahun. Dengan penambahan tren empat-gerabak ini, perkhidmatan Monorel KL akan dapat menampung jumlah penumpang sehingga 70,000 orang setiap hari.

“Setiap pandangan dan cadangan yang dikongsikan oleh pengguna sentiasa diambil perhatian. Justeru itu, pihak kami dan Kementerian Pengangkutan sentiasa berganding bahu bersama-sama dalam usaha memastikan perkhidmatan laluan Monorel KL ini lebih berdaya-saing dengan peningkatan mutu kecekapan operasi dan perkhidmatan,” kata Mohd Ariffin.

Language:

Search