Search
Close this search box.

_

DATO’ SRI TAJUDDIN TINJAU OPERASI LRT KELANA JAYA

SUBANG, 26 Jun – Selepas Depoh Bas Rapid Transit – Laluan Sunway, MRT Laluan Sungai.Buloh Kajang dan seterusnya Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan pada 18 Jun lepas, Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman hari ini meneruskan program familarisasi tugas dengan lawatan kerja ke Depoh LRT Laluan Kelana Jaya, yang terletak di kompleks ibupejabat Rapid Rail di sini.

Diiringi oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Encik Muhammad Nizam Alias, Dato Sri Tajuddin turut mengadakan diskusi dengan tenaga pengajar Pusat Kecemerlangan Prasarana (PACE) dan meninjau kemajuan projek ibupejabat baru Kumpulan Prasarana, yang kini dalam proses pembinaan.

Datang menggunakan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dari stesen Bank Rakyat Bangsar, beliau diberi taklimat menyeluruh mengenai operasi Rapid Rail oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Encik Abdul Hadi Amran sebelum disambung dengan penerangan penuh tentang LRT Laluan Kelana Jaya oleh Ketua Pegawai Operasinya, Tuan Haji Ismail Abdullah.

Mengendalikan secara purata lebih 300,000 penumpang sehari, LRT Laluan Kelana Jaya, yang menyediakan perkhidmatan dari Putra Heights ke Gombak dengan melalui kawasan kepadatan tinggi di Subang Jaya, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Setiawangsa, Gombak dan pusat bandaraya, adalah rangkaian paling sibuk di antara semua perkhidmatan rel kendalian Rapid Rail.

Kini beroperasi dengan kapasiti 74 tren termasuk 35 tren dua-gerabak, LRT Laluan Kelana Jaya sedang dalam proses perolehan untuk mendapatkan 27 set tren empat-gerabak Bombardier baru bagi menampung peningkatan dalam jumlah penumpang pada masa akan datang. Dipasang oleh Bombardier Hartasuma di Westport, Pelabuhan Klang, penghantaran set pertama tren baru ini dijadualkan pada bulan Ogos ini.

Selain meningkatkan kapasiti khususnya untuk waktu puncak pagi dan petang, pengenalan tren-tren baru ini akan meningkatkan lagi keselesaan untuk para penumpang di samping mengekalkan kekerapan tren pada purata 2.5 minit.

Pada sesi bersama PACE, Dato’ Sri Tajuddin dimaklumkan tentang skop dan modul latihan yang ditawarkan pusat latihan itu, yang merupakan gabungan Akademi Rel Rapid Rail, yang beroperasi di Subang, dan Akademi Bas Rapid Bus, yang terletak di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan.

Language:

Search