KUALA LUMPUR, 18 Jun – Rapid Bus Sdn Bhd – sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor – hari ini melancarkan dengan rasminya aplikasi khas Google Transit, yang bakal memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang dan Selangor.
Dilancarkan oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di sini, aplikasi yang dibangunkan sendiri oleh Rapid Bus boleh membantu warga kota untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik dan lebih efisien.
Diusahakan dengan kolaborasi bersama Google, aplikasi yang menggunakan platform terbuka Google membolehkan para penumpang untuk menyemak lokasi semasa sebenar atau ‘real time’ bas Rapid KL untuk hampir 170 laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara LRT, Go KL dan beberapa laluan-laluan perkhidmatan bas Smart Selangor yang terpilih.
Di bawah perancangan masa depannya, Rapid Bus akan meluaskan capaian kepada bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.
Selain perjalanan bas, perkongsian data tersebut melalui Google Maps turut menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan. Dengan memiliki maklumat-maklumat ini, para penumpang boleh melakukan aktiviti lain ketika menanti bas mereka dan menuju ke hentian sejenak sebelum ketibaan bas.
Pada masa sekarang, Rapid KL banyak menerima pertanyaan mengenai lokasi bas daripada pelanggan; yakni sehingga 4,865 pertanyaan daripada bulan Januari sehingga April 2020. Secara amnya, lebih 60 peratus pertanyaan yang diterima daripada pelanggan bas adalah untuk mengetahui kedudukan atau kekerapan bas daripada para penumpang yang sedang menunggu.
Untuk menggunakan kemudahan ini, para pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Google Maps daripada Google Play atau Apple App Store.
Dalam kunjungan ke Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan hari ini, Dato’ Sri Tajuddin turut diberi taklimat mengenai kerja-kerja di Pusat Kawalan Bas, worksyop dan juga program-program latihan di Akademi Bas Rapid Bus.